• Utama
  • Mengenai Kami
  • Latar Belakang

Latar Belakang

Impian masyarakat telah tercapai, dengan terdirinya Hospital di Daerah Sabak Bernam, kini masyarakat tempatan sudah merasai kemudahan mendapatkan perkhidmatan kesihatan di tempat sendiri. Masalah kenderaan, perbelanjaan dan perjalanan jauh bagi mendapatkan rawatan telah pun selesai.

Pembinaan hospital di Daerah Sabak Bernam juga adalah merupakan salah satu projek Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertujuan untuk memberi kemudahan dan mempertingkatkan taraf kesihatan masyarakat luar bandar.

Daerah Sabak Bernam ialah daerah yang paling utara di Negeri Selangor bersempadan dengan Negeri Perak. Jaraknya adalah lebih kurang 110 Km dari Klang dan 40 Km dari Teluk Intan, Perak. Daerah ini mempunyai keluasan kira-kira 99700 hektar dan penduduknya berjumlah lebih kurang 130,000 orang. Sektor pertanian dan perikanan merupakan kegiatan ekonomi yang utama di kawasan ini.

Hospital Sabak Bernam dibina di sebuah tapak seluas 50 ekar berhampiran Ladang Torkington lebih kurang 1 Km dari Pekan Sabak Bernam. Pembinaannya telah dimulakan dengan pembelian tapak dari Ladang Torkington pada tahun 1983 dengan harga RM 440,000.00. Walaubagaimanapun projek pembinaan mengikut Konsep Nukleus dengan 93 katil bermula pada tahun 1990 oleh Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn. Bhd. dan disiapkan pada 9 Mei 1994. Hospital ini berharga RM 37.53 juta. Diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 15 Julai 1994. Perasmiannya pada 3 Oktober 1998 disempurnakan oleh DYYM Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan menamakan hospital ini sempena nama bondanya. Berikutan itu Hospital Sabak Bernam telah bertukar nama kepada Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam.

HTAJ merupakan sebuah Hospital Daerah Tanpa Pakar. Walaubagaimanapun perkhidmatan kepakaran disediakan di Klinik Pakar Lawatan. Ahli Lembaga Pelawat Hospital pula merupakan penghubung antara hospital dan komuniti.HTAJ menyediakan perkhidmatan Pentadbiran, Rawatan Kecemasan 24 jam, Rawatan Pesakit Luar, Rawatan Pesakit Dalam, Rawatan Klinik Pakar (Lawatan) serta Lawatan dan Rawatan ke rumah melalui perkhidmatan Komuniti Psikiatri. Manakala Perkhidmatan Sokongan, meliputi Rekod Perubatan, Farmasi dan Bekalan, Rehabilitasi, Pengimejan dan Diagnostik, Patologi, Dietetik & Sajian, Hemodialisis, Sucihama, Kejuruteraan, Latihan & Kualiti serta Kawalan Infeksi.

Perkhidmatan Sokongan yang dibekalkan dari luar adalah Pembersihan, Penyelenggaraan Kemudahan Kejuruteraan,Dobi, Peralatan Biomedikal, Pengurusan Sisa Klinikal yang telah diswastakan kepada Syarikat Radicare Sdn Bhd mulai 1 Januari 1997. Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Hospital juga telah diswastakan pada 17 Oktober 1994 sehingga sekarang.

Proses penyampaian perkhidmatan kepada pesakit dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal mengikut prosedur dan lain-lain kaedah yang ditetapkan. Pengurusan HTAJ juga menyediakan kemudahan komunikasi yang berkesan dengan pelanggan melalui Kaunter terbuka, Perjumpaan, Surat Menyurat, Penyediaan Risalah-risalah Kesihatan dan Perkhidmatan, Kajian Tahap Kepuasan Pelanggan dan Maklumbalas Pelanggan, Peti Cadangan, Piagam Pelanggan, Program Bimbingan Pendidikan Kesihatan dan Kemudahan Telekomunikasi.

HTAJ sangat mementingkan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan selamat. Akreditasi Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam telah dijalankan pada kali pertama pada bulan November 2000. HTAJ ialah hospital pertama di Negeri Selangor yang mendapat status Akreditasi. HTAJ telah melalui 5 kitaran dan Pengiktirafan Akreditasi dikekalkan sehingga Jun 2018.

Pada bulan Jun 2006 Hospital ini telah mendapat Persijilan MS ISO 9001:2000 selama 3 tahun. Pelancaran untuk versi baru MS ISO 9001:2008 dilancarkan pada 5 Februari 2009 dan telah diaudit pada bulan Jun 2009. HTAJ berjaya mendapat Persijilan MS ISO 9001:2008 sehingga 2012. Melalui penilaian-penilaian seterusnya maka status dikekalkan sehingga Jun 2018.Persijilan Hospital Rakan Bayi menjadi milik HTAJ sejak tahun 2000. Persijilan juga dikekalkan sehingga November 2017.HTAJ juga telah mendapat pensijilan 5S di Unit Farmasi dan Bekalan oleh MPC (Malaysian Productivity Corporation) sejak 2011. Telah melalui 4 kitaran dan persijilan dikekalkan sehingga November 2017.Indikator kualiti dan patient safety goals di pantau serta dinilai pencapaiannya secara berterusan. Tindakan pencegahan dan penambahbaikan sentiasa dilaksanakan dari masa ke semasa.

Hospital Tengku Ampuan Jemaah telah menjalankan aktiviti Perhimpunan Pagi untuk anggota-anggota dari semua unit. Kebiasaannya perhimpunan pagi dilakukan minggu pertama pada setiap awal bulan iaitu sebulan sekali. Kumpulan Koir Hospital dan anggota yang terlibat dalam Perhimpunan Pagi akan menyanyikan lagu’Negaraku’ ’Sihat Sejahtera’ dan ’Sedia Membantu’. Beberapa topik semasa, nasihat dan pesanan ringkas akan disampaikan oleh Pengarah Hospital selain Persembahan Sumbangsih dari unit yang terpilih.

Acara sambutan Hariraya, Sambutan Hari Jururawat dan majlis keraian perpisahan anggota yang akan berpencen dan berpindah juga telah dijalankan demi memupuk keharmonian perhubungan anggota-anggota hospital.Program Latihan Bencana seperti Bencana Kemalangan Jalanraya, Latihan Kebakaran dan Latihan Bencana Bot Karam dijalankan dan ini bertujuan memberi pendedahan kepada anggota bagaimana menangani bencana sekiranya berlaku.

HTAJ akan terus membuat penambahbaikan supaya memberi perkhidmatan yang berkualiti menepati citarasa pelanggan. Seterusnya impian adalah supaya status HTAJ dapat dinaiktaraf dari Hospital Tanpa Pakar ke Hospital Pakar MInor bagi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat luar bandar serta merealisasikan visi, misi KKM ke arah kecemerlangan.

Disediakan oleh:

Dr Jameela Banu binti Ahmad Hassali

Pengarah HTAJ

16/8/2016

Cetak Emel